Skip to main content

Prosedur Am Mahkamah Jenayah di Malaysia

Mahkamah boleh menjadi satu tempat yang menggerunkan buat mana-mana individu, apatah lagi sekiranya melibatkan kes jenayah. Saya ceritakan serba sedikit prosedur Mahkamah Jenayah bagi pengetahuan kita bersama.

Apabila anda telah ditahan untuk siasatan, pihak berkuasa akan memohon reman keatas anda. Reman boleh dipohon untuk dilanjutkan sekiranya pihak berkuasa mendapati keperluan berbuat demikian. Pada peringkat ini, anda sudah boleh melantik peguam untuk melawan penahanan reman.

Apabila tamat reman, anda akan dilepaskan jika tiada tindakan lanjut atau dituduh di Mahkamah sama ada Mahkamah Majistret, Sesyen atau Tinggi. Sekiranya melibatkan kes jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Tuduh (OKT). Jika melibatkan kes separa jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Saman (OKS).

Sekiranya terdapat pelbagai pertuduhan, mungkin anda akan dituduh di pelbagai peringkat Mahkamah pada satu-satu masa. 

Jika anda memilih untuk mengaku salah, anda dibenarkan untuk membuat rayuan mitigasi bagi meringankan hukuman anda. Terdapat kesalahan yang mandatori penjara atau sebatan. Jadi, pastikan anda benar-benar memahami pertuduhan keatas anda dan hukuman yang akan diterima. Ada juga yang hanya dikenakan denda.

Apabila anda selesai menjalani hukuman, kes anda telah selesai.

Sekiranya anda tidak mengaku salah, maka proses Mahkamah akan berterusan.

Terdapat kesalahan boleh jamin dan tidak boleh jamin. Jika kesalahan tidak boleh jamin, anda akan direman di penjara sehinggalah kes anda selesai. Jika boleh jamin, anda masih perlu hadir pada setiap tarikh kes. Jika anda tidak dapat hadir, penjamin perlu hadir untuk memberikan sebab berserta bukti sebab ketidakhadiran anda.

Terdapat dua peringkat perbicaraan, iaitu peringkat pendakwaan (pertama) dan pembelaan (kedua). Pada peringkat pertama ini, pihak pendakwaan akan memanggil saksi-saksi dan mengemukakan ekshibit-ekshibit yang boleh menyokong kesnya. Mahkamah akan membuat keputusan di peringkat ini selepas pihak pendakwaan menutup kesnya. 

Sekiranya pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen pertuduhan dan wujudnya kes prima facie, anda boleh dilepas dan dibebaskan di peringkat pertama lagi. Jika wujud kes prima facie, anda masih belum didapati bersalah tetapi anda perlu membela diri di peringkat kedua. Anda boleh memanggil saksi-saksi pembelaan yang boleh menyokong anda di peringkat kedua ini. Mahkamah akan membuat keputusan di peringkat ini selepas pihak pembelaan anda menutup kesnya.

Apabila Mahkamah Bicara telah membuat keputusan, pihak yang terkilan dengan keputusan Mahkamah Bicara boleh membuat rayuan jika tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Secara amnya, pihak-pihak dibenarkan  dua peringkat rayuan dari Mahkamah Bicara. Jika bermula dengan Mahkamah Rendah (Majistret/Sesyen), peringkat tertinggi adalah Mahkamah Rayuan. Jika bermula dengan Mahkamah Tinggi, peringkat tertinggi adalah Mahkamah Persekutuan.

Tempoh masa kes berjalan adalah tidak tetap - boleh jadi berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Apatah lagi dalam suasana pandemik/endemik Covid-19 ini. Berbeza dengan kes sivil yang sudah mula bergerak secara maya, kehadiran fizikal OKT/OKS untuk kes jenayah masih diperlukan di Mahkamah.

Moga bermanfaat. 

Bagaimana jika kenalan/keluarga ditahan oleh polis? Anda boleh merujuk hantaran saya ini --- Apabila kenalan ditahan oleh polis

Penafian: Pengetahuan am ini tidak semestinya berjalan sepertimana yang dinyatakan di atas dan tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu nasihat undang-undang atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal, sedang atau telah hadapi. Sila dapatkan nasihat guaman khusus daripada peguam anda yang bertauliah.


Comments

Popular posts from this blog

5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu Sebelum Memulakan Latihan Dalam Kamar (Pupillage/Chambering)

Anda baru tamat pengajian. Sebagai graduan undang-undang, anda berhasrat untuk menjalani latihan dalam kamar untuk didaftarai sebagai peguambela & peguamcara. Usai menyiapkan resume dan surat iringan, anda terus menghantarnya melalui emel kepada firma-firma guaman yang dihajati. Memandangkan anda tidak mempunyai pengalaman kerja sebelum ini, anda tidak pasti sama ada sekiranya firma guaman yang mahu menerima anda sebagai pelatih bersesuaian dengan anda ataupun tidak. Bersama-sama ini saya kongsikan lima perkara penting yang anda perlu tahu dan pertimbangkan sebelum memulakan latihan dalam kamar ("LDK"). 1.     Pengkhususan Terdapat pelbagai pengkhususan undang-undang, termasuklah litigasi sivil, litigasi jenayah, pemindahhakkan (conveyancing) dan korporat. Terdapat firma guaman yang membuat kesemuanya, tetapi kebiasaannya firma mempunyai pengkhususan yang tersendiri. Oleh itu, sebelum menerima tawaran LDK, pastikan pengkhususan yang anda mahukan ada di firma guaman terseb...

Keldai Akaun

Soalan: Akaun saya telah disalah guna oleh pihak ketiga untuk menipu pihak lain ( scam ). Malangnya, saya telah ditahan pihak berkuasa dan kini telah dituduh di Mahkamah kerana penglibatan akaun saya. Saya tidak mengaku salah dan kini dijamin oleh saudara saya. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Jawapan: Apabila akaun telah disalah guna untuk tujuan penipuan, kebarangkalian besar pemilik akaun akan dituduh di Mahkamah kerana laporan polis akan dibuat terhadap nombor akaun tersebut, walaupun pemilik tidak pernah berurusan dengan pengadu. Sekiranya terdapat banyak laporan serupa, maka kebarangkalian dituduh akan menjadi lebih tinggi. Terdapat tiga pertuduhan yang biasanya dikenakan terhadap pemilik akaun, iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 424 KK dan S. 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK). Seksyen 420 KK wajib penjara minimum 1 tahun dan sebat.  Seksyen 424 KK penjara dan/atau denda. Masih boleh pohon denda. Seksyen 29(1) AKK denda dan/atau penjara. Biasanya denda da...
MSofianCo Usually reply within a day
Hello, how may We help you? ...
Click me to start the chat...