Ramai antara kita pernah berhadapan dengan situasi seperti ini:
✏ memberi pinjaman kepada rakan tanpa faedah
Bagi mengelakkan berlaku penipuan, kecuaian atau keculasan
oleh pihak penerima wang dalam membayar hutang, maka
cara yang baik adalah mewujudkan satu perjanjian bertulis antara pihak-pihak.
Bersama ini saya kongsikan lima perkara penting yang perlu
ada dalam perjanjian bertulis tersebut:
1. Butiran Pihak-Pihak
Nampak seperti benda
kecil, bukan? Tetapi butiran yang salah atau tidak tepat boleh menyebabkan anda
terperangkap di masa hadapan. Anda juga perlu pastikan dengan pihak mana anda
berurusan. Contoh:
✏ Individu dan syarikat diperbadankan adalah dua entiti
berbeza. Jika A beri pinjam kepada B (individu) tapi perjanjian mengatakan
kepada C(syarikat sdn bhd), maka secara amnya, A tidak boleh tuntut hutang
daripada B.
✏ Individu yang tiada dalam perjanjian bukan pihak yang boleh
dituntut. Jika A beri pinjam kepada B, dan B memberi pinjam kepada C
menggunakan duit diterima daripada A, secara amnya A tidak boleh tuntut wang
daripada C kerana perjanjian adalah antara A dan B sahaja.
2. Sebab wang diberikan
Sama ada pinjaman, pelaburan, dan atau apa-apa sebab lain
wang tersebut diberikan, butiran hendaklah jelas dan hendaklah tidak bercanggah
dengan mana-mana undang-undang sedia ada dalam Malaysia.
Jika anda memberi pinjaman tapi dalam perjanjian menulis
pelaburan, anda mungkin mengalami kesukaran membuat tuntutan kelak.
3. Tempoh masa dan tarikh berkaitan
Nyatakan tempoh masa perjanjian berkuatkuasa dan bila wang yang diberikan perlu dipulangkan semula. Sebulan? Tiga Bulan? Setahun? Tulis.
Tarikh-tarikh berkaitan termasuklah tarikh perjanjian, tarikh wang perlu dibayar semula dan tarikh dokumen ditandatangani pihak-pihak.
4. Cara wang perlu dipulangkan
Tulis cara-cara wang perlu dipulangkan. Contoh:
✏ Secara penuh dalam satu bayaran (lump sum)
✏ Bayaran berkala (staggered payment)
5. Pengakuan Pihak-Pihak
Pihak-pihak perlu menurunkan pengakuan terhadap perjanjian
tersebut, sama ada tandatangan, cop syarikat, cap ibu jari atau cara-cara lain
yang bersesuaian. Ini bagi memastikan pihak-pihak mengakui kesahihan dokumen
dan butiran di dalamnya. Jika tidak, dokumen tersebut mungkin tidak bernilai
apabila dibawa ke Mahkamah kelak.
Lima perkara tersebut adalah antara butir-butir asas yang penting
dalam perjanjian bertulis. Walaubagaimanapun, terdapat perkara-perkara lain
yang perlu diambil kira bergantung kepada, antara lain, kerumitan perjanjian.
Moga bermanfaat.
Berapa lama tempoh masa tuntutan boleh dilakukan jika berlaku kemungkiran perjanjian? Anda boleh baca hantaran saya di sini --- Had Masa bagi Tuntutan Sivil di Mahkamah
Anda terima surat tuntutan hutang dan tak tahu nak buat apa? Boleh baca di sini --- Saya terima surat tuntutan hutang, apa perlu saya buat?
Penafian: Pengetahuan am ini tidak semestinya berjalan sepertimana
yang dinyatakan di atas dan tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai
satu nasihat undang-undang atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal,
sedang atau telah hadapi. Sila dapatkan nasihat guaman khusus daripada peguam yang bertauliah.
Comments
Post a Comment