Dua menantu saya telah ditahan polis, apa yang perlu saya lakukan?
Sekiranya pak cik telah pun tahu menantu ditahan polis,
kebarangkaliannya adalah pak cik atau ahli keluarga telah bercakap dengan
menantu. Paling tidak, dimaklumkan oleh pihak polis berkenaan keberadaan
menantu.
Pada masa makluman keberadaan, ambil pen dan kertas, pakcik tanya
dan catat, antara lain,
1)
di mana dan bila menantu ditangkap,
2)
atas kesalahan apa,
3)
balai mana menantu ditahan,
4)
nombor badan jika ada; dan
5)
butiran pegawai penyiasat (cth: nama, no telefon).
Sekiranya menantu belum melantik peguam, pak cik atau ahli
keluarga yang lain boleh melantik peguam bagi pihak menantu.
Berapa lama menantu
saya akan ditahan?
Sekiranya polis dapat menyelesaikan siasatan dalam tempoh 24
jam, maka menantu akan dibebaskan atau didakwa selepas masa tersebut. Jika
tidak, suatu permohonan akan dibuat kepada Majistret untuk tahanan lanjut
seperti berikut:-
1)
Kesalahan melibatkan hukuman penjara kurang dari
14 tahun, reman maksimum 7 hari (4 hari pada permohonan pertama dan 3 hari pada
permohonan kedua).
2)
Kesalahan melibatkan hukuman penjara 14 tahun
atau lebih, reman maksimum 14 hari (7 hari masing-masing pada permohonan
pertama dan kedua).
Bolehkah tempoh
tahanan dikurangkan?
Mahkamah akan mempertimbangkan. Sekiranya peguam telah dilantik sebelum pendengaran
permohonan reman, maka peguam akan memohon untuk pengurangan reman atau
mengenepikan reman secara terus. Jika tidak, menantu secara sendirian perlu membantah permohonan reman.
Saya dapat tahu
menantu saya telah direman tiga hari dan saya baru nak melantik peguam.
Bagaimana?
Tidak menjadi masalah. Sila berikan butiran yang pak cik
catat ketika makluman keberadaan menantu kepada pihak peguam untuk peguam
melaksanakan tugasan lanjut.
Apabila reman telah
dibenarkan, kebiasaannya pihak-pihak akan menunggu sehingga tempoh reman tamat
melainkan terdapat isu-isu yang mewajarkan satu permohonan bagi membebaskan
menantu seawal mungkin. Sila berbincang dengan peguam yang dilantik berkenaan
kes menantu pak cik.
Jika siasatan mencukupi untuk pendakwaan, menantu akan
didakwa di Mahkamah sebaik sahaja tempoh reman tamat.
Setelah menantu saya
didakwa, adakah beliau akan terus berada dalam penjara?
Apabila menantu pak cik telah didakwa di Mahkamah, beliau
akan ditanya untuk mengaku salah ataupun tidak. Jika mengaku salah, maka
menantu secara sendirian (jika tiada peguam) atau peguam akan membuat satu rayuan
kepada Mahkamah bagi mengurangkan hukuman keatas menantu pak cik.
Jika tidak mengaku bersalah, maka satu permohonan untuk
jamin akan dibuat kepada Mahkamah. Jika dibenarkan, maka menantu pak cik
dibenarkan keluar dari penjara TETAPI
wajib hadir pada setiap tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Jadi, kalau tak
mengaku salah, menantu saya boleh keluar penjara?
Tidak semestinya. Pihak Mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan atau
menolak permohonan jamin ini bergantung kepada, antara lain, pertuduhan jenayah
ringan atau berat, umur dan lain-lain. Pada masa ini, pak cik perlu bersedia
untuk menjadi penjamin dan memiliki sejumlah wang untuk didepositkan di
Mahkamah sebagai wang jamin menantu. Wang jamin tersebut boleh hangus jika,
antara lain, menantu menghilangkan diri atau gagal hadir ke Mahkamah tanpa
sebab munasabah. Maka, perlu ditekankan bahawa menantu wajib hadir ke Mahkamah
sepanjang kesnya berjalan.
Prosedur am ini tidak semestinya berjalan sepertimana yang
dinyatakan di atas dan tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu
nasihat atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal, sedang atau telah
hadapi. Ianya bergantung kepada pelbagai fakta kes dan faktor, termasuklah kes
kanak-kanak bawah umur, pertuduhan jenayah ancaman keselamatan negara, tahanan
tanpa bicara, dan lain-lain.

Comments
Post a Comment