Anda baru tamat pengajian. Sebagai graduan undang-undang, anda berhasrat untuk menjalani latihan dalam kamar untuk didaftarai sebagai peguambela & peguamcara. Usai menyiapkan resume dan surat iringan, anda terus menghantarnya melalui emel kepada firma-firma guaman yang dihajati.
Memandangkan anda tidak mempunyai pengalaman kerja sebelum ini, anda tidak pasti sama ada sekiranya firma guaman yang mahu menerima anda sebagai pelatih bersesuaian dengan anda ataupun tidak.
Bersama-sama ini saya kongsikan lima perkara penting yang anda perlu tahu dan pertimbangkan sebelum memulakan latihan dalam kamar ("LDK").
1. Pengkhususan
Terdapat pelbagai pengkhususan undang-undang, termasuklah litigasi sivil, litigasi jenayah, pemindahhakkan (conveyancing) dan korporat. Terdapat firma guaman yang membuat kesemuanya, tetapi kebiasaannya firma mempunyai pengkhususan yang tersendiri. Oleh itu, sebelum menerima tawaran LDK, pastikan pengkhususan yang anda mahukan ada di firma guaman tersebut.
2. Elaun
Elaun yang ditawarkan oleh setiap firma adalah berbeza. Rendah atau tinggi bergantung kepada pelbagai sebab. Ada yang tidak kisah dengan jumlah, ada yang kisah. Sekiranya anda kisah, cara ini mungkin boleh diguna pakai. Anda perlu membuat kira-kira sendiri terlebih dahulu berkenaan lokasi LDK anda. Kira-kira ini termasuklah komitmen bayaran bilik sewa, bil telefon, makan minum, pengangkutan, keraian (entertainment) dan lain-lain. Kira-kira ini berbeza bagi lokasi dan individu sendiri. Jadi, apabila menerima tawaran LDK, pastikan jumlah tersebut mencukupi untuk keperluan anda.
3. Lokasi dan Jarak
Lokasi dan jarak rumah dan firma juga memainkan peranan. Hal ini kerana masa dan komitmen pengangkutan bergantung kepada dua perkara ini. Sebagai contoh, tinggal di pinggir bandar tetapi berkerja di bandar memerlukan anda tahu pengangkutan sesuai. Tidak semua firma berada berdekatan dengan pengangkutan awam, dan anda mungkin tidak mempunyai lesen motosikal untuk menghadapi kesesakan lalu lintas.
4. Beban Kerja
Sebagai Pelatih, anda perlu mengimbangi beban kerja dengan skop LDK. Apabila memulakan LDK, anda tidak boleh berfikir bahawa anda akan buat satu fail dalam satu-satu masa sahaja. Perkara itu mungkin tidak akan berlaku. Sebaliknya, anda akan menerima pelbagai fail serentak dan kesemuanya perlukan perhatian segera.
Seterusnya, jangan pula beranggapan bahawa anda tidak perlu belajar skop kerja kerani seperti menaip surat, fotostat dan lain-lain. Kerja-kerja tersebut mungkin memberi imbuhan kepada anda sekiranya anda mahu membuka firma kecil sendiri kelak. Rajin-rajinkan diri menimba ilmu baru.
Kerja lebih masa juga perlu dipertimbangkan. Anda perlu mendapatkan gambaran kasar berkenaan perkara ini daripada bakal Master anda agar anda tidak berada dalam keadaan rumit yang mana anda terbeban dengan kerja lebih masa yang melampau. Anda juga perlu berehat. Dapatkan pandangan rakan-rakan dan pensyarah berkenaan firma guaman itu sendiri jika perlu.
5. Pengurusan Masa
Pengurusan masa penting dan berkait dengan beban kerja. Ingat, masa itu penting dalam undang-undang. Fail litigasi contohnya, mempunyai had masa untuk pemfailan, balasan dokumen, dan lain-lain. Oleh itu, anda perlu menguruskan masa dalam memberikan perhatian terhadap satu-satu fail. Diari adalah rakan anda.
Kelima-lima poin di atas bukanlah hanya lima perkara yang anda perlu tahu. Mungkin tidak sesuai dengan anda, maka buang yang keruh ambil yang jernih. Setiap LDK ada cabaran masing-masing.
Semoga bermanfaat.
Comments
Post a Comment