Anda telah dituduh untuk kes jenayah. Anda tidak mahu kes berlanjutan dan memakan masa yang lama. Anda memilih untuk membuat pengakuan salah pada hari pertama anda dituduh tanpa sebarang nasihat guaman. Anda terkejut dengan hukuman yang diberikan oleh Majistret atau Hakim sedangkan anda menganggap anda akan dikenakan hukuman yang minimal. Anda kini mahu merayu terhadap sabitan dan hukuman kes anda. Bolehkah anda berbuat demikian?
Tertuduh boleh
mengaku salah pada bila-bila masa
Hak pengakuan salah atau tidak bersalah adalah hak tertuduh
sepenuhnya. Amnya, tidak ada yang menghalang tertuduh untuk membuat pengakuan
bersalah pada hari pertama dituduh di Mahkamah walaupun tanpa kehadiran peguam.
Pengakuan salah Tanpa
Syarat
Walaubagaimanapun, sebelum Mahkamah merekodkan
pengakuan tersebut, Mahkamah perlu memastikan tertuduh memahami kesan dan
akibat pertuduhan keatasnya termasuklah hukuman yang boleh dikenakan keatasnya.
Mahkamah juga perlu memastikan pengakuan tersebut adalah pengakuan tidak
bersyarat, iaitu pengakuan penuh oleh tertuduh.
Pengakuan penuh ini termasuklah mengakui fakta kes yang
berlaku dan ekshibit-ekshibit pertuduhan seperti barang kes, gambar
kejadian dan tempat kejadian, rajah kasar dan sebagainya. Bukti-bukti ini akan
dikemukakan di Mahkamah dan ditunjukkan kepada tertuduh. Tertuduh perlu
meneliti setiap bukti tersebut dan mengakui setiap satunya. Jika tidak,
pengakuan salah tertuduh tidak akan diterima memandangkan pengakuan salah itu
bersyarat. Setiap pengakuan tertuduh akan direkodkan oleh Mahkamah.
Rayuan Mitigasi
Hukuman
Tertuduh berhak untuk membuat rayuan agar dikenakan hukuman
paling rendah. Pendakwaan juga akan membuat hujahan hukuman keatas tertuduh. Walaupun Mahkamah akan mempertimbangkan rayuan tertuduh,
Mahkamah tidak terikat dengan rayuan tersebut dan boleh memberikan apa-apa
hukuman dalam bidang kuasanya. Sebagai contoh, hukuman 12(3) Akta Dadah
Berbahaya 1952 memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000.00 atau penjara tidak
lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Sekiranya tertuduh merayu untuk
dikenakan denda, tidak ada yang menghalang Majistret untuk menjatuhkan hukuman
penjara, tertakluk kepada penilaian Majistret berdasarkan nas-nas undang-undang
sedia ada.
Hukuman Mandatori
Tertuduh perlu sedar bahawa terdapat pertuduhan yang mempunyai hukuman wajib penjara atau sebat. Sebagai contoh:
- Mencederakan isteri yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan mewajibkan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.
- Menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan - hukuman wajib adalah sekurang-kurangnya setahun penjara yang boleh sampai 10 tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda.
- Pemilikan ganja di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 – Wajib penjara tidak kurang 5 tahun boleh sampai seumur hidup, dan tidak kurang 10 sebatan.
- Hukuman Rasuah ditetapkan dalam Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bagi kesalahan di bawah Seksyen 16, 17, 18, 20, 21, 22 and 23 Akta SPRM 2009 – Hukuman wajib penjara yang boleh sampai 20 tahun dan juga wajib denda lima kali nilai suapan atau paling kurang RM10,000.00 (nilai yang lebih tinggi akan dikenakan).
Oleh itu, apabila membuat pengakuan salah, Mahkamah perlu memastikan tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan terhadap pertuduhan termasuklah hukuman wajib yang bakal dikenakan. Tertuduh sendiri juga perlu memastikan dirinya memahami setiap butiran pertuduhan, kesan dan akibat pengakuan salahnya.
Apabila pengakuan salah telah direkodkan, Mahkamah tidak
boleh memberikan denda semata-mata jika hukuman wajib adalah penjara.
Rayuan
Amnya, apabila rayuan dibuat setelah pengakuan salah
direkodkan secara teratur oleh Mahkamah, rayuan hanya boleh dibuat terhadap jumlah
hukuman yang diberikan dan bukannya sabitan. Walaubagaimanapun, terdapat kes
yang mana sabitan diketepikan setelah pengakuan salah direkodkan namun
bergantung kepada fakta unik kes yang terjadi. Case by case basis.
Sekalipun tertuduh mengaku salah tanpa peguam namun jika
didapati Mahkamah merekodkan pengakuan salah secara teratur, maka pengakuan
salah tersebut adalah kekal walaupun hukuman pertuduhan adalah berat.
Moga bermanfaat.
Bagaimana prosedur kes jenayah berjalan di Malaysia? Baca sini --- Prosedur Am Mahkamah Jenayah di Malaysia
Bagaimana jika ahli keluarga ditahan dan direman untuk siasatan? Baca sini --- Apabila kenalan ditahan oleh polis
Apakah undang-undang berkaitan dengan salah guna dadah/ganja di Malaysia? Baca sini ---
Apakah yang akan terjadi apabila terlibat dengan kemalangan maut dari sudut jenayah? Baca Sini --- Kemalangan Jalan Raya yang mengakibatkan Kematian
Penafian: Pengetahuan am ini tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu nasihat undang-undang atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal, sedang atau telah hadapi. Sila dapatkan nasihat guaman khusus daripada peguam yang bertauliah.
Mantap tuan
ReplyDelete