Skip to main content

Pengakuan Salah dalam Kes Jenayah

Anda telah dituduh untuk kes jenayah. Anda tidak mahu kes berlanjutan dan memakan masa yang lama. Anda memilih untuk membuat pengakuan salah pada hari pertama anda dituduh tanpa sebarang nasihat guaman. Anda terkejut dengan hukuman yang diberikan oleh Majistret atau Hakim sedangkan anda menganggap anda akan dikenakan hukuman yang minimal. Anda kini mahu merayu terhadap sabitan dan hukuman kes anda. Bolehkah anda berbuat demikian?

 

Tertuduh boleh mengaku salah pada bila-bila masa

Hak pengakuan salah atau tidak bersalah adalah hak tertuduh sepenuhnya. Amnya, tidak ada yang menghalang tertuduh untuk membuat pengakuan bersalah pada hari pertama dituduh di Mahkamah walaupun tanpa kehadiran peguam.

 

Pengakuan salah Tanpa Syarat

Walaubagaimanapun, sebelum Mahkamah merekodkan pengakuan tersebut, Mahkamah perlu memastikan tertuduh memahami kesan dan akibat pertuduhan keatasnya termasuklah hukuman yang boleh dikenakan keatasnya. Mahkamah juga perlu memastikan pengakuan tersebut adalah pengakuan tidak bersyarat, iaitu pengakuan penuh oleh tertuduh.

Pengakuan penuh ini termasuklah mengakui fakta kes yang berlaku dan ekshibit-ekshibit pertuduhan seperti barang kes, gambar kejadian dan tempat kejadian, rajah kasar dan sebagainya. Bukti-bukti ini akan dikemukakan di Mahkamah dan ditunjukkan kepada tertuduh. Tertuduh perlu meneliti setiap bukti tersebut dan mengakui setiap satunya. Jika tidak, pengakuan salah tertuduh tidak akan diterima memandangkan pengakuan salah itu bersyarat. Setiap pengakuan tertuduh akan direkodkan oleh Mahkamah.

 

Rayuan Mitigasi Hukuman

Tertuduh berhak untuk membuat rayuan agar dikenakan hukuman paling rendah. Pendakwaan juga akan membuat hujahan hukuman keatas tertuduh. Walaupun Mahkamah akan mempertimbangkan rayuan tertuduh, Mahkamah tidak terikat dengan rayuan tersebut dan boleh memberikan apa-apa hukuman dalam bidang kuasanya. Sebagai contoh, hukuman 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Sekiranya tertuduh merayu untuk dikenakan denda, tidak ada yang menghalang Majistret untuk menjatuhkan hukuman penjara, tertakluk kepada penilaian Majistret berdasarkan nas-nas undang-undang sedia ada.

 

Hukuman Mandatori       

Tertuduh perlu sedar bahawa terdapat pertuduhan yang mempunyai hukuman wajib penjara atau sebat. Sebagai contoh:

  1. Mencederakan isteri yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan mewajibkan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.
  2. Menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan - hukuman wajib adalah sekurang-kurangnya setahun penjara yang boleh sampai 10 tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda.
  3. Pemilikan ganja di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 – Wajib penjara tidak kurang 5 tahun boleh sampai seumur hidup, dan tidak kurang 10 sebatan.
  4. Hukuman Rasuah ditetapkan dalam Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bagi kesalahan di bawah Seksyen 16, 17, 18, 20, 21, 22 and 23 Akta SPRM 2009 – Hukuman wajib penjara yang boleh sampai 20 tahun dan juga wajib denda lima kali nilai suapan atau paling kurang RM10,000.00 (nilai yang lebih tinggi akan dikenakan).


Oleh itu, apabila membuat pengakuan salah, Mahkamah perlu memastikan tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan terhadap pertuduhan termasuklah hukuman wajib yang bakal dikenakan. Tertuduh sendiri juga perlu memastikan dirinya memahami setiap butiran pertuduhan, kesan dan akibat pengakuan salahnya.

Apabila pengakuan salah telah direkodkan, Mahkamah tidak boleh memberikan denda semata-mata jika hukuman wajib adalah penjara.


Rayuan

Amnya, apabila rayuan dibuat setelah pengakuan salah direkodkan secara teratur oleh Mahkamah, rayuan hanya boleh dibuat terhadap jumlah hukuman yang diberikan dan bukannya sabitan. Walaubagaimanapun, terdapat kes yang mana sabitan diketepikan setelah pengakuan salah direkodkan namun bergantung kepada fakta unik kes yang terjadi. Case by case basis.

Sekalipun tertuduh mengaku salah tanpa peguam namun jika didapati Mahkamah merekodkan pengakuan salah secara teratur, maka pengakuan salah tersebut adalah kekal walaupun hukuman pertuduhan adalah berat.

Moga bermanfaat.

Bagaimana prosedur kes jenayah berjalan di Malaysia? Baca sini --- Prosedur Am Mahkamah Jenayah di Malaysia

Bagaimana jika ahli keluarga ditahan dan direman untuk siasatan? Baca sini --- Apabila kenalan ditahan oleh polis

 Apakah undang-undang berkaitan dengan salah guna dadah/ganja di Malaysia? Baca sini --- Ganja --- Sudut Jenayah - Apa yang Anda Wajar Tahu

Apakah yang akan terjadi apabila terlibat dengan kemalangan maut dari sudut jenayah? Baca Sini --- Kemalangan Jalan Raya yang mengakibatkan Kematian

Penafian: Pengetahuan am ini tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu nasihat undang-undang atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal, sedang atau telah hadapi. Sila dapatkan nasihat guaman khusus daripada peguam yang bertauliah.

 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu Sebelum Memulakan Latihan Dalam Kamar (Pupillage/Chambering)

Anda baru tamat pengajian. Sebagai graduan undang-undang, anda berhasrat untuk menjalani latihan dalam kamar untuk didaftarai sebagai peguambela & peguamcara. Usai menyiapkan resume dan surat iringan, anda terus menghantarnya melalui emel kepada firma-firma guaman yang dihajati. Memandangkan anda tidak mempunyai pengalaman kerja sebelum ini, anda tidak pasti sama ada sekiranya firma guaman yang mahu menerima anda sebagai pelatih bersesuaian dengan anda ataupun tidak. Bersama-sama ini saya kongsikan lima perkara penting yang anda perlu tahu dan pertimbangkan sebelum memulakan latihan dalam kamar ("LDK"). 1.     Pengkhususan Terdapat pelbagai pengkhususan undang-undang, termasuklah litigasi sivil, litigasi jenayah, pemindahhakkan (conveyancing) dan korporat. Terdapat firma guaman yang membuat kesemuanya, tetapi kebiasaannya firma mempunyai pengkhususan yang tersendiri. Oleh itu, sebelum menerima tawaran LDK, pastikan pengkhususan yang anda mahukan ada di firma guaman terseb...

Keldai Akaun

Soalan: Akaun saya telah disalah guna oleh pihak ketiga untuk menipu pihak lain ( scam ). Malangnya, saya telah ditahan pihak berkuasa dan kini telah dituduh di Mahkamah kerana penglibatan akaun saya. Saya tidak mengaku salah dan kini dijamin oleh saudara saya. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Jawapan: Apabila akaun telah disalah guna untuk tujuan penipuan, kebarangkalian besar pemilik akaun akan dituduh di Mahkamah kerana laporan polis akan dibuat terhadap nombor akaun tersebut, walaupun pemilik tidak pernah berurusan dengan pengadu. Sekiranya terdapat banyak laporan serupa, maka kebarangkalian dituduh akan menjadi lebih tinggi. Terdapat tiga pertuduhan yang biasanya dikenakan terhadap pemilik akaun, iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 424 KK dan S. 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK). Seksyen 420 KK wajib penjara minimum 1 tahun dan sebat.  Seksyen 424 KK penjara dan/atau denda. Masih boleh pohon denda. Seksyen 29(1) AKK denda dan/atau penjara. Biasanya denda da...

Prosedur Am Mahkamah Jenayah di Malaysia

Mahkamah boleh menjadi satu tempat yang menggerunkan buat mana-mana individu, apatah lagi sekiranya melibatkan kes jenayah. Saya ceritakan serba sedikit prosedur Mahkamah Jenayah bagi pengetahuan kita bersama. Apabila anda telah ditahan untuk siasatan, pihak berkuasa akan memohon reman keatas anda. Reman boleh dipohon untuk dilanjutkan sekiranya pihak berkuasa mendapati keperluan berbuat demikian. Pada peringkat ini, anda sudah boleh melantik peguam untuk melawan penahanan reman. Apabila tamat reman, anda akan dilepaskan jika tiada tindakan lanjut atau dituduh di Mahkamah sama ada Mahkamah Majistret, Sesyen atau Tinggi. Sekiranya melibatkan kes jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Tuduh (OKT). Jika melibatkan kes separa jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Saman (OKS). Sekiranya terdapat pelbagai pertuduhan, mungkin anda akan dituduh di pelbagai peringkat Mahkamah pada satu-satu masa.  Jika anda memilih untuk mengaku salah, anda dibenarkan untuk membuat rayuan mitigasi ...
MSofianCo Usually reply within a day
Hello, how may We help you? ...
Click me to start the chat...