Skip to main content

Kemalangan Jalan Raya yang mengakibatkan Kematian

 Situasi:

Anda membawa kereta melebihi had laju yang dibenarkan di jalan kampung. Ketika di simpang empat, lampu isyarat bertukar merah dan anda tidak sempat membrek. Motosikal dari arah laluan lain telah bergerak dan anda telah melanggar motosikal tersebut. Anda berhenti dan mahu membantu penunggang motosikal tersebut. Malangnya penunggang motosikal telah meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. Anda dalam kegelapan. Apa yang bakal berlaku terhadap anda?

Apabila berlaku kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian atau langgar mati, kebiasaannya kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1967 (“APJ”). Pada peringkat awal, anda akan direman untuk pihak polis membuat siasatan terhadap kes anda. Sekiranya selepas tempoh reman pihak pendakwaan mendapati bukti mencukupi untuk pertuduhan, maka anda boleh didakwa atau dituduh di bawah Sekyen 41(1) APJ tersebut. Namun begitu, ketiadaan pertuduhan serta-merta selepas reman tidak bermaksud anda sudah terlepas daripada kes tersebut kerana kes jenayah tidak mempunyai had masa. Anda boleh dituduh pada bila-bila masa oleh pihak pendakwaan di kemudian hari.

Seksyen 41(1) APJ memperuntukkan hukuman wajib penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun, dan denda tidak kurang RM20,000.00 dan tidak lebih RM50,000.00 bagi kesalahan pertama. Sekiranya kesalahan berulang, wajib penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak melebih lima belas tahun, dan denda tidak kurang RM50,000.00 dan tidak lebih RM100,000.00. Ini adalah peningkatan hukuman selepas pindaan pada tahun 2020. Anda juga bakal kehilangan kelayakan untuk memandu selama lima tahun bagi kesalahan pertama dan sepuluh tahun bagi kesalahan berulang.

Sekiranya anda dituduh di Mahkamah dan mengaku tidak bersalah, anda boleh memohon untuk jaminan diberikan sementara kes anda berjalan. Mahkamah berhak mengarahkan agar lesen memandu anda digantung sehingga perbicaraan selesai. Sepertimana kes jenayah yang lain, akan ada peringkat pendakwaan dan peringkat pembelaan. Keputusan lepas dan bebas pertuduhan boleh berlaku di peringkat pendakwaan tetapi sabitan hanya boleh berlaku selepas peringkat pembelaan tamat. 

Baca prosedur am kes jenayah di Malaysia di sini --- Prosedur Am Mahkamah Jenayah di Malaysia

Mahkamah berhak, di akhir peringkat pendakwaan atau pembelaan mendapati Seksyen 41(1) APJ tidak dapat dibuktikan tetapi kesalahan masih berlaku. Pertuduhan anda boleh turun kepada Seksyen 42 APJ iaitu pemanduan berbahaya dan melulu atau Seksyen 43 APJ iaitu pemanduan tidak cermat atau bertimbang rasa, bergantung kepada bukti terhadap pemanduan anda.

Sekiranya pertukaran seksyen berlaku di peringkat pendakwaan, maka anda akan dipanggil membela diri bagi pertuduhan yang lebih rendah tersebut, melainkan anda memilih untuk mengaku salah selepas pindaan pertuduhan. Sekiranya berlaku di akhir peringkat pembelaan, maka Mahkamah akan menjatuhkan hukuman terhadap anda berdasarkan hukuman di bawah Seksyen 42 atau 43 APJ tersebut, dan bukannya Seksyen 41 APJ.

Seksyen 42 APJ memperuntukkan hukuman wajib penjara untuk tempoh tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000.00 dan tidak lebih RM15,000.00. Jika kesalahan berulang, wajib penjara untuk tempoh tidak lebih sepuluh tahun  dan denda tidak kurang RM10,000.00 dan tidak lebih RM20,000.00.  Anda juga bakal kehilangan kelayakan untuk memandu selama lima tahun bagi kesalahan pertama dan sepuluh tahun bagi kesalahan berulang.

Seksyen 43 APJ pula hukuman denda tidak kurang RM5,000.00 dan tidak lebih RM10,000.00. Anda juga boleh dihukum penjara tidak lebih dua belas bulan bagi kesalahan pertama. Jika kesalahan berulang, denda tidak kurang RM10,000.00 dan tidak lebih RM15,000.00 dan boleh dihukum penjara tidak lebih dua belas bulan.

Moga bermanfaat.

Sekiranya kenalan atau ahli keluarga anda yang ditahan oleh pihak polis, apa yang boleh anda lakukan? Baca di sini --- Apabila kenalan ditahan oleh polis

Penafian: Pengetahuan am ini tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu nasihat undang-undang atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal, sedang atau telah hadapi. Sila dapatkan nasihat guaman khusus daripada peguam yang bertauliah.

 

Comments

Popular posts from this blog

5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu Sebelum Memulakan Latihan Dalam Kamar (Pupillage/Chambering)

Anda baru tamat pengajian. Sebagai graduan undang-undang, anda berhasrat untuk menjalani latihan dalam kamar untuk didaftarai sebagai peguambela & peguamcara. Usai menyiapkan resume dan surat iringan, anda terus menghantarnya melalui emel kepada firma-firma guaman yang dihajati. Memandangkan anda tidak mempunyai pengalaman kerja sebelum ini, anda tidak pasti sama ada sekiranya firma guaman yang mahu menerima anda sebagai pelatih bersesuaian dengan anda ataupun tidak. Bersama-sama ini saya kongsikan lima perkara penting yang anda perlu tahu dan pertimbangkan sebelum memulakan latihan dalam kamar ("LDK"). 1.     Pengkhususan Terdapat pelbagai pengkhususan undang-undang, termasuklah litigasi sivil, litigasi jenayah, pemindahhakkan (conveyancing) dan korporat. Terdapat firma guaman yang membuat kesemuanya, tetapi kebiasaannya firma mempunyai pengkhususan yang tersendiri. Oleh itu, sebelum menerima tawaran LDK, pastikan pengkhususan yang anda mahukan ada di firma guaman terseb...

Keldai Akaun

Soalan: Akaun saya telah disalah guna oleh pihak ketiga untuk menipu pihak lain ( scam ). Malangnya, saya telah ditahan pihak berkuasa dan kini telah dituduh di Mahkamah kerana penglibatan akaun saya. Saya tidak mengaku salah dan kini dijamin oleh saudara saya. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Jawapan: Apabila akaun telah disalah guna untuk tujuan penipuan, kebarangkalian besar pemilik akaun akan dituduh di Mahkamah kerana laporan polis akan dibuat terhadap nombor akaun tersebut, walaupun pemilik tidak pernah berurusan dengan pengadu. Sekiranya terdapat banyak laporan serupa, maka kebarangkalian dituduh akan menjadi lebih tinggi. Terdapat tiga pertuduhan yang biasanya dikenakan terhadap pemilik akaun, iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 424 KK dan S. 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK). Seksyen 420 KK wajib penjara minimum 1 tahun dan sebat.  Seksyen 424 KK penjara dan/atau denda. Masih boleh pohon denda. Seksyen 29(1) AKK denda dan/atau penjara. Biasanya denda da...

Prosedur Am Mahkamah Jenayah di Malaysia

Mahkamah boleh menjadi satu tempat yang menggerunkan buat mana-mana individu, apatah lagi sekiranya melibatkan kes jenayah. Saya ceritakan serba sedikit prosedur Mahkamah Jenayah bagi pengetahuan kita bersama. Apabila anda telah ditahan untuk siasatan, pihak berkuasa akan memohon reman keatas anda. Reman boleh dipohon untuk dilanjutkan sekiranya pihak berkuasa mendapati keperluan berbuat demikian. Pada peringkat ini, anda sudah boleh melantik peguam untuk melawan penahanan reman. Apabila tamat reman, anda akan dilepaskan jika tiada tindakan lanjut atau dituduh di Mahkamah sama ada Mahkamah Majistret, Sesyen atau Tinggi. Sekiranya melibatkan kes jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Tuduh (OKT). Jika melibatkan kes separa jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Saman (OKS). Sekiranya terdapat pelbagai pertuduhan, mungkin anda akan dituduh di pelbagai peringkat Mahkamah pada satu-satu masa.  Jika anda memilih untuk mengaku salah, anda dibenarkan untuk membuat rayuan mitigasi ...
MSofianCo Usually reply within a day
Hello, how may We help you? ...
Click me to start the chat...