Situasi:
Anda mempunyai sebidang tanah pusaka di kampung (“Hartanah
tersebut”). Anda tinggal di atas Hartanah tersebut. Satu hari, anda menerima
notis untuk pengambilalihan tanah oleh kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah
1960 (“APT”). Anda melantik jurunilai tanah dan mengemukakan dokumen penilaian
tersebut semasa pendengaran nilai pampasan. Pentadbir tanah memberikan satu jumlah
pampasan tetapi lebih rendah berbanding yang dinilaikan oleh penilai swasta
yang telah dilantik oleh anda. Anda tidak berpuas hati dan ingin membuat rayuan
terhadap jumlah pampasan yang diberikan tersebut. Apa yang anda boleh lakukan?
Sebagai pemilik Hartanah tersebut, anda adalah pihak
berkepentingan dalam tanah tersebut. Oleh itu, anda berhak untuk membuat satu
rayuan atau rujukan kes anda ke Mahkamah Tinggi (“Rujukan Tanah”) bagi
mendapatkan penilaian pampasan yang lebih baik atau tinggi. Walaubagaimanapun,
prosedurnya berbeza daripada kes Sivil yang lain seperti kemalangan jalan raya
atau pecah kontrak. Prosedur Rujukan Tanah bergantung kepada Akta Pengambilan
Tanah atau APT.
Pertama sekali, perhatikan tempoh masa. Anda mempunyai enam
minggu atau 42 hari sahaja dari tarikh award untuk memfailkan Borang N bagi merujuk kes anda ke
Mahkamah Tinggi. Sekiranya anda terlepas tempoh masa tersebut, tidak ada rayuan
lagi dibenarkan melainkan dengan kebenaran Mahkamah atas alasan-alasan yang
ketat.
Kedua, pemfailan Borang N hendaklah dibuat kepada Pentadbir Tanah --- tempat keputusan pampasan awal diberikan dan bukannya kepada Mahkamah. Pihak
Pentadbir Tanah yang akan membuat Rujukan Tanah kepada Mahkamah selepas
menerima pemfailan Borang N oleh pihak anda.
Seterusnya, anda hendaklah bersedia dengan deposit berjumlah
RM 3,000.00 untuk serahan bersama-sama Borang N kepada Pentadbir Tanah. Anda
boleh memohon untuk deposit ini dipulangkan di akhir kes Rujukan Tanah anda
tidak kira Rujukan Tanah anda berjaya ataupun tidak.
Pastikan anda memberikan maklumat terkini kepada Pentadbir
Tanah seperti alamat dan nombor panggilan. Ini bagi memudahkan anda menerima
makluman apabila kes anda sudah didaftarkan di Mahkamah Tinggi kelak. Sentiasa berhubung dengan Pejabat Tanah agar anda peka dengan kes anda di Mahkamah Tinggi. Kes anda berkemungkinan akan dianggap ditarik balik atau digugurkan sekiranya anda atau peguam anda gagal hadir ketika pengurusan kes di Mahkamah Tinggi kelak.
Apabila kes anda sudah berdaftar, maka prosedur am Mahkamah
Sivil akan berjalan. Pihak-Pihak akan memfailkan penilaian masing-masing, dan
balasan penilaian terhadap penilaian yang tidak dipersetujui (sekiranya perlu
dan ada). Pihak Kerajaan akan bergantung kepada penilaian Jabatan Penilaian dan
Perkhidmatan Harta (“JPPH”) sepertimana ketika pendengaran awal dahulu dan anda
akan bergantung kepada penilaian swasta. Pihak-Pihak juga akan berbalas hujahan
bagi menyokong penilaian masing-masing.
Pada hari pendengaran di Mahkamah Tinggi, kes anda akan
didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dibantu oleh dua Penilai/Pengapit
yang dilantik oleh Mahkamah. Amnya, fi kehadiran mereka adalah kos prosiding
dan akan ditanggung oleh anda.
Keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pampasan semata-mata adalah
muktamad dan tidak ada rayuan lagi dibenarkan selepas keputusan tersebut.
Moga bermanfaat.
Baca hantaran saya berkenaan had masa dalam tuntutan sivil di sini --- Had Masa bagi Tuntutan Sivil di Mahkamah
Penafian: Pengetahuan am ini tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu nasihat undang-undang atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal, sedang atau telah hadapi. Sila dapatkan nasihat guaman khusus daripada peguam yang bertauliah.
Comments
Post a Comment