Kanak-kanak seringkali dianggap sebagai aset masa depan sesebuah negara. Sebenarnya, mereka adalah lebih daripada itu. Kanak-kanak juga mempunyai akal fikiran, keperluan dan kemahuan. Kanak-kanak adalah manusia dan sebagai manusia, mempunyai hak-hak mereka sendiri.
Antara hak kanak-kanak adalah perlindungan daripada stigma sosial. Stigma itu sendiri adalah satu perkataan yang memberi konotasi buruk. Stigma sosial boleh memberikan kesan mendalam terhadap orang dewasa, apatah lagi jika kanak-kanak yang mengalaminya.
Akta Kanak-kanak 2001 adalah statut utama yang melibatkan kanak-kanak. Perubahan penggunaan perkataan “Kanak-kanak” itu sendiri berbanding statut lama yang mengguna pakai perkataan “Juvana” adalah satu perkembangan positif untuk melindungi kanak-kanak daripada stigma sosial dari segi label.
Statut tersebut, antara lain, memberikan pengakuan undang-undang bahawa kanak-kanak adalah invididu yang memerlukan perlindungan istimewa untuk penglibatannya dalam masyarakat. Kanak-kanak, dalam konteks undang-undang, adalah mereka yang berumur kurang 18 tahun.
Seterusnya, Akta Kanak-kanak 2001, dalam melindungi kanak-kanak daripada stigma sosial telah memperuntukkan perlindungan identiti kepada kanak-kanak. Seksyen 15 Akta tersebut memberikan perlindungan identiti bagi kanak-kanak yang terlibat dalam, antara lain,
1) Kes jenayah, tidak kira sebagai suspek, tertuduh, mangsa ataupun saksi. Perlindungan identiti terpakai sejak siasatan berjalan sehinggalah tamat perbicaraan;
2) Kes yang memerlukan penjagaan dan perlindungan dari penderaan fizikal, emosi atau seksual, juga kanak-kanak yang diabaikan;
3) Kes yang memerlukan pelindungan dan rehablitasi, terutamanya kanak-kanak yang dipaksa dalam melakukan kelakuan seksual atau pelacuran, atau tinggal dalam keadaan atau jagaan pihak terlibat dalam jenayah pelacuran; dan
4) Kes luar kawalan.
Perlindungan identiti ini termasuklah gambar, nama, alamat dan institusi pendidikan kanak-kanak yang terlibat tersebut. Apa sahaja yang boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut dapat dicam di media massa, tidak kira medium bercetak atau elektronik, adalah tidak dibenarkan. Sekiranya melanggar peruntukan tersebut, individu yang bersalah dalam penyebaran identiti kanak-kanak yang terlibat boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 10 ribu atau pemenjaraan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Perlindungan di atas ini hanya boleh diketepikan apabila Mahkamah mendapati terdapat kepentingan keadilan dan atas permohonan Pihak Pendakwaan.
Selain perlindungan di atas, terdapat pelbagai perlindungan lagi diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Perlindungan yang diberikan penting agar kanak-kanak yang terpaksa melalui kes-kes yang traumatik, tidak akan perlu melalui pula penilaian negatif masyarakat umum dalam tumbesaran mereka.
Kanak-kanak bukan hidup untuk masa hadapan semata-mata, tetapi hidup di masa kini sebagai manusia, sama seperti orang dewasa. Mereka juga wajar dilindungi dan dihormati.
Saya petik ucapan mendiang Nelson Mandela, “There can be no keener revelation of a society’s soul than the way in which it treats its children. [Tidak ada pendedahan yang lebih besar terhadap jiwa masyarakat berbanding dengan cara mereka memperlakukan kanak-kanak]”.
Moga bermanfaat.
Comments
Post a Comment