Ayah meninggal dunia tanpa wasiat untuk kami tiga beradik, bolehkah abang saya menetapkan pembahagian harta sesuka hati?
Tidak boleh. Harta akan dibahagikan secara faraid untuk
keluarga Muslim.
Bolehkah jika kami
tidak mahu ikut faraid dan membahagikan secara sama rata?
Boleh, jika KESEMUA
WARIS BERSETUJU. Jika semua bersetuju, harta boleh dibahagikan mengikut
persetujuan, sama ada sama rata atau lain-lain. Namun begitu, waris perlu
mengetahui bahagian asal jika mengikut faraid sebelum bersetuju untuk
pembahagian mengikut persetujuan. Ini bagi memastikan keadilan kepada
pihak-pihak dan mengelakkan pertelingkahan di kemudian hari.
JIKA ADA SEORANG
WARIS PUN TIDAK BERSETUJU, maka harta akan diberikan mengikut faraid.
Bagaimana saya ingin
mendapatkan nilai bahagian faraid?
Sekiranya melibatkan pusaka kecil (butiran di perenggan lain),
Unit Pusaka Kecil mempunyai bidang kuasa sendiri untuk mengira nilai
pembahagian berdasarkan faraid. Sekiranya melibatkan harta di Amanah Raya
Berhad atau Mahkamah Tinggi, terdapat keperluan untuk Sijil Faraid. Namun,
keperluan Sijil Faraid adalah bergantung kepada kes mengikut kes (case by case
basis).
Sijil faraid boleh dipohon di Mahkamah Syariah dengan
mengemukakan dokumen berkaitan, antara lain, senarai kesemua waris dan senarai
harta. Sijil faraid tersebut akan membantu melancarkan permohonan Surat Kuasa
Mentadbir (LA) dan Perintah Pembahagian.
Pada masa ini, terdapat juga kiraan e-faraid atau kiraan
faraid online di laman web yang sah seperti Mahkamah Syariah Malaysia dan
Universiti Sains Malaysia. Walaubagaimanapun, kiraan atas talian tersebut
hanyalah untuk pengetahuan umum sahaja. Sijil Faraid perlu diperoleh, sekiranya
perlu.
Selepas menerima
Sijil Faraid, apa yang perlu saya lakukan?
Terdapat tiga tempat untuk mendapatkan L.A. iaitu:-
1)
Unit Pusaka Kecil (Nilai Harta Tak Alih + Harta
Alih – tidak melebihi RM2 juta)
2)
Amanah Raya Berhad (Nilai Harta Alih – tidak
melebihi RM 600 ribu)
3)
Mahkamah Tinggi
Apakah beza
ketiga-tiga tempat tersebut?
Unit Pusaka Kecil menguruskan harta keseluruhan tidak melebihi
RM 2 juta. Harta mestilah mempunyai harta tak alih (tanah, rumah dll). Unit
Pusaka Kecil tidak menguruskan jika mempunyai harta alih (wang simpanan,
caruman KWSP dll) semata-mata.
Amanah Raya Berhad menguruskan harta alih bernilai tidak
melebihi RM 600 ribu sahaja dan tidak boleh menguruskan harta tak alih. Jika
ada harta tak alih, akan ke Unit Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi akan menguruskan pusaka besar. Tetapi
terdapat sebahagian situasi yang membenarkan Mahkamah Tinggi menguruskan pusaka
kecil walaupun nilai harta di bawah RM2 juta.
Apakah tugas Pentadbir
Harta?
Seperti namanya, Pentadbir Harta tugasnya mentadbir harta.
Pentadbir Harta bukan pemilik harta walaupun beliau mungkin salah seorang
waris. Pentadbir Harta tidak boleh sesuka hati menggunakan harta yang ditadbir.
Pentadbir Harta akan, antara lain, menyemak harta-harta yang ada dan hutang
piutang. Pada masa semakan, Pentadbir Harta juga mungkin mengetahui harta-harta
tambahan dan harta tersebut boleh dimasukkan dalam senarai harta yang ditadbir.
Harta-harta tambahan tersebut juga boleh dipohon untuk dimasukkan dalam Sijil
Faraid sebelum ini untuk pembahagian berdasarkan faraid.
Pentadbir yang pecah amanah atau gagal mentadbir harta dengan baik membuka
ruang kepada Pentadbir untuk disiasat untuk tuduhan jenayah, dan juga boleh
disaman dalam kes sivil.
Selepas selesai tugas
mentadbir?
Pentadbir boleh memohon Perintah Pembahagian untuk melaksanakan
pembahagian harta-harta kepada waris-waris.
Semoga bermanfaat.
Penafian: Prosedur am ini tidak semestinya berjalan sepertimana yang
dinyatakan di atas dan tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu nasihat
atau penyelesaian terhadap kes yang anda hadapi. Ianya bergantung kepada fakta
kes yang pelbagai, termasuklah tetapi tidak terhad kepada isu wasiat, hutang
piutang, harta sepencarian, harta hibah dan lain-lain.

Comments
Post a Comment