Skip to main content

Spill the tea.

Spill the tea

Ini boleh dikatakan trend terkini yang mana satu pihak menceritakan isu atau kisah kontroversi di media sosial.

 

Ada kesan baik ke?

Kadangkala, isu kontroversi tersebut adalah betul dan memberikan kesan yang baik seperti tertangkapnya pelaku untuk satu-satu kejadian atau pihak-pihak bermaafan. Spill the tea juga boleh memberikan tekanan awam (public pressure) agar satu-satu kes, terutamanya melibatkan kepentingan awam itu diberikan perhatian dan perhatian khusus. Anda boleh bayangkan dalam kes sebegini, orang awam bertindak seperti NGO dalam memperjuangkan sesuatu isu atau kes.

 

Tapi, mesti ada kesan buruk juga kan?

Betul. Kebanyakan masa, isu kontroversi yang diceritakan di media sosial hanya berlegar dari sudut pandang satu pihak sahaja. Oleh itu, secara kasar, terdapat ketidakseimbangan di situ apabila pendengar atau pembaca tidak dapat mempertimbangkan fakta-fakta dengan lebih baik.

Sedar atau tidak, budaya bercerita buruk di khalayak ramai ini ada kesan buruk di sisi undang-undang terutamanya apabila melibatkan aib dan maruah individu yang menjadi mangsa dalam cerita buruk tersebut.

 

Ada unsur jenayah ke?

Sekiranya pencerita tersebut telah, antara lain, memfitnah, menyebarkan cerita tidak benar melibatkan kepentingan awam, mengugut atau mengaibkan maruah individu lain dalam cerita kontroversinya, tindakannya itu boleh terjumlah kepada kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia. Memandangkan kita dalam keadaan Darurat, cerita pencerita juga mungkin terjumlah kepada kesalahan di bawah Ordinan Darurat. Sekiranya didapati bersalah, individu boleh dipenjara, denda atau kedua-duanya sekali.

 

Sivil juga?

Selain itu, individu yang bercerita itu juga boleh disaman dalam prosiding Sivil oleh mangsa dalam cerita tersebut. Tuntutan gantirugi yang boleh dibuat termasuklah melibatkan wang dan permohonan maaf. Sekiranya melibatkan perniagaan yang terjejas secara langsung akibat cerita tidak benar, jumlah tersebut juga boleh dituntut dalam saman Sivil tersebut.

 

Orang yang spill the tea akan kena jenayah atau sivil la ye?

Malangnya, pencerita boleh terlibat dalam kedua-dua prosiding secara serentak. Mungkin juga didapati bersalah di dalam kes Jenayah dan kalah dalam kes Sivil.

 

Apabila dituduh atau disaman, adakah bermaksud sudah bersalah?

Tidak. Apabila pencerita dituduh di Mahkamah Jenayah atau disaman di Mahkamah Sivil, tidak bermaksud pencerita sudah didapati bersalah. Kedua-dua pihak akan berpeluang untuk menegakkan fakta dan cerita masing-masing di Mahkamah kelak. Namun begitu, pencerita perlu bersedia dengan bukti-bukti yang menyokong ceritanya tersebut bagi mengelakkan tindakannya tersebut terjumlah kepada kesalahan-kesalahan yang dijelaskan di atas.

 

Apa yang pencerita perlu lakukan?

Sekiranya isu tersebut terkait jenayah, pencerita wajar membuat laporan polis. Pihak polis akan membuat siasatan kes tersebut. Jika terdapat bukti mencukupi, pihak satu lagi boleh dituduh di Mahkamah.

Jika melibatkan isu sivil seperti tuntutan hutang atau kemalangan, pencerita boleh membuat tuntutan sivil di Mahkamah bagi menuntut haknya. Kadangkala, ianya tidak sampai pun kepada tuntutan sivil di Mahkamah kerana isunya kecil dan perlukan perbincangan peribadi kedua-dua pihak sahaja.

 

Tak bolehlah spill the tea langsung ye?

Sebagai seorang yang cukup umur dari segi undang-undang, kita bertanggungjawab dari segi undang-undang terhadap apa yang kita kata, tulis dan cerita. Bercerita ataupun tidak, timbang tara buruk dan baik sebelum melakukannya. Kita yang akan menanggung kesan tersebut, sama ada cerita ataupun tidak.

You may spill the tea but be prepared and aware that the tea may stain.

Moga bermanfaat.

Penafian: Pengetahuan am ini tidak semestinya berjalan sepertimana yang dinyatakan di atas dan tidak boleh pada bila-bila masa dianggap sebagai satu nasihat undang-undang atau penyelesaian terhadap kes yang anda bakal, sedang atau telah hadapi. Sila dapatkan nasihat guaman khusus daripada peguam anda yang bertauliah.

 

 

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu Sebelum Memulakan Latihan Dalam Kamar (Pupillage/Chambering)

Anda baru tamat pengajian. Sebagai graduan undang-undang, anda berhasrat untuk menjalani latihan dalam kamar untuk didaftarai sebagai peguambela & peguamcara. Usai menyiapkan resume dan surat iringan, anda terus menghantarnya melalui emel kepada firma-firma guaman yang dihajati. Memandangkan anda tidak mempunyai pengalaman kerja sebelum ini, anda tidak pasti sama ada sekiranya firma guaman yang mahu menerima anda sebagai pelatih bersesuaian dengan anda ataupun tidak. Bersama-sama ini saya kongsikan lima perkara penting yang anda perlu tahu dan pertimbangkan sebelum memulakan latihan dalam kamar ("LDK"). 1.     Pengkhususan Terdapat pelbagai pengkhususan undang-undang, termasuklah litigasi sivil, litigasi jenayah, pemindahhakkan (conveyancing) dan korporat. Terdapat firma guaman yang membuat kesemuanya, tetapi kebiasaannya firma mempunyai pengkhususan yang tersendiri. Oleh itu, sebelum menerima tawaran LDK, pastikan pengkhususan yang anda mahukan ada di firma guaman terseb...

Keldai Akaun

Soalan: Akaun saya telah disalah guna oleh pihak ketiga untuk menipu pihak lain ( scam ). Malangnya, saya telah ditahan pihak berkuasa dan kini telah dituduh di Mahkamah kerana penglibatan akaun saya. Saya tidak mengaku salah dan kini dijamin oleh saudara saya. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Jawapan: Apabila akaun telah disalah guna untuk tujuan penipuan, kebarangkalian besar pemilik akaun akan dituduh di Mahkamah kerana laporan polis akan dibuat terhadap nombor akaun tersebut, walaupun pemilik tidak pernah berurusan dengan pengadu. Sekiranya terdapat banyak laporan serupa, maka kebarangkalian dituduh akan menjadi lebih tinggi. Terdapat tiga pertuduhan yang biasanya dikenakan terhadap pemilik akaun, iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 424 KK dan S. 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK). Seksyen 420 KK wajib penjara minimum 1 tahun dan sebat.  Seksyen 424 KK penjara dan/atau denda. Masih boleh pohon denda. Seksyen 29(1) AKK denda dan/atau penjara. Biasanya denda da...

Prosedur Am Mahkamah Jenayah di Malaysia

Mahkamah boleh menjadi satu tempat yang menggerunkan buat mana-mana individu, apatah lagi sekiranya melibatkan kes jenayah. Saya ceritakan serba sedikit prosedur Mahkamah Jenayah bagi pengetahuan kita bersama. Apabila anda telah ditahan untuk siasatan, pihak berkuasa akan memohon reman keatas anda. Reman boleh dipohon untuk dilanjutkan sekiranya pihak berkuasa mendapati keperluan berbuat demikian. Pada peringkat ini, anda sudah boleh melantik peguam untuk melawan penahanan reman. Apabila tamat reman, anda akan dilepaskan jika tiada tindakan lanjut atau dituduh di Mahkamah sama ada Mahkamah Majistret, Sesyen atau Tinggi. Sekiranya melibatkan kes jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Tuduh (OKT). Jika melibatkan kes separa jenayah, akan dipanggil sebagai Orang Kena Saman (OKS). Sekiranya terdapat pelbagai pertuduhan, mungkin anda akan dituduh di pelbagai peringkat Mahkamah pada satu-satu masa.  Jika anda memilih untuk mengaku salah, anda dibenarkan untuk membuat rayuan mitigasi ...
MSofianCo Usually reply within a day
Hello, how may We help you? ...
Click me to start the chat...