Apabila anda membuat tuntutan sivil di Mahkamah bagi mendapatkan ganti rugi akibat kemalangan jalan raya, secara amnya terdapat dua jenis ganti rugi yang boleh dituntut iaitu ganti rugi am dan ganti rugi khas.
Apa itu ganti rugi am?
Secara amnya, ganti rugi am ini
adalah ganti rugi untuk sesuatu yang tidak boleh dikira. Sebagai contoh, kecederaan
yang anda alami akibat kemalangan akan diberikan di bawah ganti rugi am. Berapa
jenis kecederaan, kawasan kecederaan dan jumlah keceraan turut diambil kira
apabila sesuatu taksiran dibuat dalam menentukan jumlah sesuai untuk kecederaan
yang anda alami. Sudah tentu, kecederaan besar akan menerima nilaian ganti rugi
yang lebih tinggi berbanding kecederaan kecil.
Prinsip asas pemberian ganti rugi
bukanlah untuk mengayakan anda, tetapi memulangkan anda kepada keadaan asal
sebelum kemalangan. Walaupun kita tahu, nikmat sihat itu tidak ternilai tetapi
pemberian ganti rugi yang wajar perlu dinilai oleh Mahkamah agar kecederaan
anda boleh dipampas sebaiknya tanpa
berlaku zalim kepada pihak yang salah. Oleh itu, jumlah di bawah ganti
rugi am ini adalah jumlah yang dinilai adil dan munasabah di sisi undang-undang.
Ganti rugi khas
Sesuai dengan namanya, ganti rugi
khas adalah untuk sesuatu yang boleh dikira seperti segala resit dan kos yang
dikeluarkan seperti kos perubatan dan pengangkutan ke hospital. Apabila anda
memerlukan penjagaan pihak ketiga akibat kemalangan, terdapat ruang juga untuk
membuat tuntutan bagi penjagaan tersebut. Walaubagaimanapun, ini tertakluk
kepada kes kepada kes (case by case basis).
Sekiranya anda kehilangan
pendapatan akibat kemalangan tersebut, tidak kira sebahagian atau sepenuhnya,
kerugian ini juga boleh dituntut di Mahkamah kelak. Slip gaji dan salinan KWSP
adalah antara dokumen yang dapat membantu tuntutan pendapatan anda.
Oleh itu, sekiranya anda telah
mengeluarkan sebarang belanja akibat kemalangan tersebut, termasuklah sebarang
kos pembedahan atau pembelian katil atau kerusi roda, simpan segala resit-resit
tersebut dan serahkan kepada peguam anda bagi urusan tuntutan kemalangan
tersebut.
Sila ambil maklum bahawa jenis
ganti rugi yang dinyatakan adalah tidak muktamad dan bergantung kepada kes
kepada kes.
Moga bermanfaat.
Comments
Post a Comment